Suatu
malam rumah saya didatangi beberapa orang mahasiswa dari kalangan
pelajar perubatan Tanta. Memandangkan sebelum ini kami pernah terlibat
sama dalam program persatuan, maka saya mengenali mereka.
“Saya pelik, kenapa ramai doktor lelaki terlibat dalam bidang perbidanan (wanita bersalin)?” Saya cuba menduga.
“Tak ramai sebab bidang perbidanan ini sebenarnya risikonya tinggi dan
agak susah.. contohnya kalau ada emergency kes tengah-tengah malam ada
orang nak beranak susahla doktor perempuan nak tolong..” Jawabnya.

Sudah saya jangkakan jawapannya. Saya cuba berfikir relevan di sebalik
jawapan itu sambil tangan mencobek ketulan cucur bawang yang kami
sediakan untuk mereka. Sedap juga menjamah cucur panas-panas begini.
“Lagipun doktor lelaki jadi dah biasa dah macam tu (sudah mangli melihat
aurat wanita ketika mahu bersalin, tidak bernafsu lagi)..” Sambungnya
lagi.
Saya juga telah menulis artikel berkaitan rawatan ke atas pesakit berlainan jantina di sini.
Jawapan di atas pula bakal saya jawab sebentar lagi. Teruskan membaca subtopik di bawah.
ALASANNYA DARURAT
Ada di kalangan mereka yang mengharuskan lelaki terjun ke dalam bidang
sakit puan atau obstetrik dan ginekologi (O&G) dengan beralasan
darurat. Malah menggunapakai kaedah masyhur qawaid fiqh yang berbunyi:
Maksudnya: “Darurat boleh mengharuskan perkara yang diharamkan dengan
syarat darurat tersebut tidak kurang (bukan lebih kecil) berbanding
perkara yang diharamkan.”
Perlu diketahui, kaedah di atas bagi darurat doktor lelaki merawat
ataupun menjadi bidan kepada wanita bersalin adalah terlalu umum. Kita
tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut tanpa membuat
pengecualian hal ehwal sakit puan.
Justeru, kita tidak boleh mengkiaskan darurat memakan bangkai secara
keseluruhannya. Ini kerana darurat memakan bangkai berbeza dari beberapa
sudut. Antaranya ialah:
1. Merujuk kepada masalah keharusan memakan bangkai, ianya tidak
melibatkan pihak kedua. Maksudnya ia hanya melibatkan individu yang
memakan bangkai itu sahaja. Manakala bagi kes bersalin, ianya melibatkan
pelbagai pihak bersama iaitu pesakit, suami dan doktor yang menyambut
kelahiran itu sendiri.
2. Seterusnya jika berlaku kes bersalin, kesan di sebalik perbidanan itu
adalah amat besar samaada terhadap emosi sehinggakan si isteri akan
mengalami trauma berpanjangan. Begitu juga suami, pasti akan mengundang
rasa ‘lain’ apabila lelaki asing melihat aurat mughallazah isterinya.
Doktor juga tidak dapat lari daripada menerima kesan akibat kes
perbidanan tersebut seandainya masih bergelar lelaki sejati.
3. Harus memakan bangkai dikategorikan sebagai perkara yang ta’abbud.
Oleh itu apabila berlaku pertembungan antara ta’abbud dengan tujuan
pensyariatan (maqasid syariah) maka mestilah mendahulukan maqasid
syariah. Menjaga aurat adalah salah satu tujuan pensyariatan (iaitu
menjaga maruah), dan berubat juga merupakan salah satu tujuan
pensyariatan (iaitu menjaga nyawa). Ini kerana, ada sesetengah keadaan
didahulukan menjaga maruah berbanding menjaga nyawa, dan ada sesetengah
keadaan di dahulukan menjaga nyawa berbanding menjaga maruah.
Contoh lain, misalnya terdapat kes seorang wanita dipaksa berzina,
jikalau tidak berzina maka akan dibunuh. Oleh itu dalam masalah ini
ulama’ mengharamkan wanita berkenaan berzina, jadi hendaklah memilih
untuk dibunuh berbanding berzina. Mengapa? Kerana berzina risikonya
lebih besar berbanding bunuh. Antara risiko jenayah zina ialah kesan
trauma, kesedihan, kemurungan terhadap mangsa dan keluarga. Malah kesan
ini akan lebih teruk jika menyebabkan kelahiran anak luar
nikah.
ALASAN MEREKA YANG LAIN
Saya merasakan alasan kerana wanita sukar untuk keluar malam jika
berlaku kes kecemasan adalah tidak relevan sama sekali. Ini kerana dunia
kini bertambah canggih dan mempunyai pelbagai kemudahan perhubungan.
Bahkan wanita itu juga boleh ditemani suami ataupun mahram jika
keseorangan.
Cuba kita renung sejenak, dahulu ibu-ibu kita melahirkan anak bagaimana?
Hanya atas pertolongan mak bidan menggunakan perubatan tradisional.
Terdapat juga sesetengah tempat mereka menggunakan khidmat jururawat
bergerak. Kesemua mereka adalah wanita. Mereka sanggup berkorban demi
membantu kaum sendiri tanpa beralasankan hari sudah larut malam. Dunia
bertambah canggih, ini bukan ceritera kisah menunggang basikal tua!
Oh, saya sedikit geli hati mendengar alasan doktor lelaki sudah bosan
melihat aurat wanita sehinggakan tidak rasa bersyahwat lagi. Jawapannya
mudah, apakah doktor lelaki itu sudah mati pucuk? Atau sudah menjadi
tidak normal? Sungguh kasihan jika itu berlaku.
Faktanya, lelaki yang mengubati wanita dan terpaksa melihat aurat lebih
berisiko iaitu risiko terdedah kepada perzinaan. Ini bukan bermaksud
terdedah kepada berzina dengan pesakit ketika rawatan sahaja, bahkan
ianya mendorong kepada perzinaan umum, tidak kira samaada dengan pesakit
atau bukan pesakit.
Secara teorinya, melihat aurat terutama bahagian aurat mughallazah
(bahagian alat kelamin) boleh merangsang hawa nafsu. Lantas ransangan
ini mendorong seseorang ke arah perzinaan walaupun sekadar istimta’
(ringan-ringan).
Teori ini disokong oleh kajian daripada W.H.O yang menyatakan hampir 20%
doktor lelaki menjalinkan hubungan s3ks dengan pesakit wanita. Ini
termasuklah kes pegawai perubatan yang merogol pesakit ketika koma
sehingga menyebabkan mengandung di barat. Perkara sebegini akan
bertambah teruk jika dimonopoli oleh para doktor lelaki yang masih
bujang dan tidak berakhlak.
Qatadah meriwayatkan: Telah sampai kepadaku sabda Rasulullah SAW dengan
maksudnya: “Tidak harus bagi mana-mana perempuan yang beriman dengan
Allah SWT dan hari akhirat (memperlihatkan anggota dan mereka) melainkan
di bahagian ini, sambil baginda memegang bahagian tengah lengannya.”
(Maksud bahagian tengah ialah – bermula dari hujung jari sehingga
separuh lengan, bukan pergelangan tangan)
Terdapat riwayat di dalam sebuah hadis yang sahih bahawa Ibnu Abbas r.a berkata kepada Ato’ bin Abi Robah r.a bermaksud:
“Mahukah engkau jika aku tunjukkan seorang perempuan ahli syurga?”
Ato’ menjawab: “Ya.”
Ibnu Abbas berkata: “Perempuan hitam ini telah datang kepada Rasulullah
SAW lalu berkata: Aku dirasuk dan auratku tersingkap, maka bolehkah
engkau doakan untukku?” Rasulullah SAW bersabda: “Jika engkau mahu
bersabar, maka bagimu syurga. Jika engkau mahu aku mendoakan
kesejahteraan, (maka aku akan doakan)”. Perempuan itu berkata: “Aku
memilih bersabar (menanggung keperitan)”. Ia menambah: “Auratku
tersingkap, maka doakanlah untukku supaya ia tidak tersingkap (ketika
tidak sedarkan diri). Maka Rasulullah SAW pun mendoakan untuknya.
Perkara begini bukan sesuatu hal yang sangat-sangat ringin persis
debunga yang berterbangan ditiup angin. Ini juga bukan masalah menghirup
kopi sambil menonton gusti di warung kampung. Ini soal maruah seorang
wanita. Hati wanita mana tidak remuk seandainya selama berpuluh tahun
elok berhijab menutup aurat, menjaga rambutnya dari terdedah, namun
diragut maruah hanya kerana peristiwa beberapa jam saat kelahiran anak.
Mungkin wanita yang tidak menutup aurat kurang merasa kesengsaraan jiwa,
tetapi bagi yang selalu menjaganya. Pasti ia merupakan detik hitam yang
kelam dan hitam.
Pada hemat saya, ini adalah salah satu strategi pihak yahudi dan barat
menusukkan jarum-jarum halus mereka. Sengaja meramaikan pelajar lelaki
di dalam bidang sakit puan, dan meramaikan pihak wanita di dalam bidang
sakit tuan. Natijahnya, soal aurat langsung tidak dititikberatkan lagi
sehinggakan mencetuskan kecelaruan fikrah di benak-benak umat Islam.
FARDHU KIFAYAH YANG MENJADI FARDHU AIN
Bidang sakit puan & perbidanan (O&G) akan menjadi fardhu ain
jika kekurangan doktor muslimah. Fardhu ain ini terpundak di atas
bahu-bahu pelajar perubatan wanita yang kini sedang menuntut di mana
sahaja hamparan bumi. Bukan untuk lelaki. Ayuh, sahutlah seruan ini
wahai kaum hawa demi masa depan dirimu sendiri. Apakah akan terjadi jika
fardhu ain juga diabaikan? Saya yakin kalian juga tahu hukumnya.
Kaedah hukum fiqih mengatakan bahawa:
“Jika sesuatu kewajipan tidak dapat disempurnakan melainkan dengan
sesuatu (tindakan), maka sesuatu (tindakan) tersebut juga menjadi
wajib.”